BUKAN TERATAI
Bukan Teratai ialah sambungan daripada Cemburu Seorang Perempuan.
BAB 1
Anak haram!
Esmeralda memejam mata dan menelengkan
kepala ke tepi cermin kereta, dia ingin melupakan kata-kata keji yang keluar
dari mulut Aishah. Namun kata-kata Aishah masih terngiang-ngiang dalam
telinganya,
“Abang Lan dan Kak Es bukan anak ibu!
Kaedah ibu tumpang haram dalam Islam. Maknanya Abang Lan dan Kak Es anak
haram!” dan penampar ibu hinggap tepat pada pipi gebu kemerah-merahan Aishah,
meninggalkan bekas tapak tangannya.
“Kita mesti lakukan sesuatu,” Esmeralda
memandang ke arah Eizlan yang sedang memandu Naza Ria keluarga mereka untuk
menghantar dia balik ke Johor untuk bekerja.
“Ibu suruh tunggu papa,” suara Eizlan tidak
meyakinkan langsung.
“Apa yang papa boleh buat? Apa yang papa
akan buat? Tindakan papa selalu lambat,” keluh Esmeralda dan dia terkejut
sendiri dengan kata-katanya.
Mata Eizlan memandangnya penuh-penuh. Sudah
selama itukah Esmeralda menyimpan rasa tidak puas hatinya kepada papa mereka.
Esmeralda hanya pernah menyebut sekali dua dalam sesi kaunseling mereka selepas
mama membunuh diri bahawa jika papa lebih bijak menangani situasi keluarga
mereka hampir tiga puluh tahun dahulu, jika papa bertindak lebih cepat, mama
mungkin tidak akan bunuh diri, ibu mungkin tidak akan cacat seperti hari ini.
“Es…” Eizlan cuba memujuk.
Dia tahu hati
Esmeralda terluka. Dia faham bahawa Esmeralda sekarang dalam emosi yang tidak
stabil. Dia sendiri tidak tahu apa yang dia patut rasa.
Ketika dia berusia sepuluh tahun, Eizlan cuba memahami dinamik keluarga mereka. Zikrillah itu papanya, Emilia itu
mamanya, Dhiya’ itu ibunya. Dia anak mama dan papa. Ibu menumpangkan rahim ibu
untuk mengandung dan melahirkannya. Kemudian ibu menyusukannya selama dua
tahun. Ibu juga menyusukan Esmeralda selama dua tahun. Oleh itu, Dhiya’ ialah
ibu tumpang merangkap ibu susuan mereka. Eizlan tidak dapat memahami sepenuhnya
apatah lagi Esmeralda yang hanya lapan tahun. Eliza dan Eyad tidak sempat untuk
mengalami kekeliruan seperti dia dan Esmeralda kerana mereka terbunuh oleh
mama.
Trauma dipukul oleh mama sehingga kakinya
tempang sebelah, kengerian melihat mama menoreh muka Esmeralda dan kemudian
Eliza; dan kemudian melihat mama sambung menoreh perut Eliza sehingga isi
perut Eliza terburai dan melihat darah bersembur dari kepala Eyad yang lembut
apabila mama menghantuk kepalanya ke dinding rumah yang putih membuatkan Eizlan
hampir hilang kewarasan. Hubungan apakah yang membuatkan mama jadi gila
begitu? Sehingga mahu membunuh mereka empat beradik?
Mama asyik menjerit bahawa mereka anak Dhiya’! Bukan
anaknya tetapi anak ibu.
Kata papa, mama sakit.
Dan ibu mereka kehilangan kaki, tangan dan
suaranya.
“Papa dah buat setakat yang papa mampu,
Es,” luah Eizlan. Luahannya seperti seorang hakim menjatuhkan hukuman. Tidak
boleh dipertikaikan lagi.
Ya, papa bukanlah lelaki paling tegas atau
asertif yang pernah mereka jumpa. Namun tidak dapat hendak disalahkan papa
seorang. Papa diasuh untuk sentiasa menyenangkan orang lain. Bermula dari mama
kepada papa, Nenek Kamalia dan kemudian kekasih yang menjadi isteri pertama
papa, mama mereka, Emilia.
Jika ditanya pendapatnya, Eizlan rasakan papa hanya
mula mengambil teraju kepimpinan diri dan rumah-tangganya selepas papa
mengenali ibunya. Apabila papa bersahabat dengan ibu, papa mula mempunyai
keyakinan diri. Mula berani untuk mempertahankan apa yang papa percaya adalah
betul. Kemudian papa jatuh cinta pada mama.
Cinta pada mama buat papa jadi
buta. Papa sanggup kahwin kali kedua dengan ibu kerana mama yang suruh, kerana
mama mahukan anak. Namun apabila mama mula menyakiti ibu, papa tidak dapat
berdiam diri. Sekali lagi, hubungan papa dengan ibu menjadikan papa berani mengambil keputusan yang lebih tekad.
Selepas ketiadaan mama, keluarga mereka
jadi lebih aman. Papa kembali menjadi ketua keluarga yang sebenar. Ibu sentiasa
memastikan itu. Setiap kata papa ialah hukum. Papa tidak pernah keras dengan
anak-anak. Ada tidak ada pun, papa bertegas jika ada yang tidak kena pada
matanya. Papa telah belajar dari kesalahannya. Papa hari ini bukan lagi papa
yang mentah tiga puluh tahun dahulu. Papa sudah dimatangkan oleh ujian dan
dugaan yang besar-besar dalam hidupnya.
Jika selama ini Eizlan dan Esmeralda berasa
cukup dengan jawapan ibu bahawa mereka berdua anak-anak ibu tidak
kiralah bagaimanapun hubungan mereka dicatur-jalinkan. Namun anak haram? Besar bezanya hubungan yang tidak jelas dengan hubungan yang tidak halal.