Thursday, April 16, 2020

Bukan Teratai_Bab 1


BUKAN TERATAI

Bukan Teratai ialah sambungan daripada Cemburu Seorang Perempuan. 

BAB 1

Anak haram!

Esmeralda memejam mata dan menelengkan kepala ke tepi cermin kereta, dia ingin melupakan kata-kata keji yang keluar dari mulut Aishah. Namun kata-kata Aishah masih terngiang-ngiang dalam telinganya,

“Abang Lan dan Kak Es bukan anak ibu! Kaedah ibu tumpang haram dalam Islam. Maknanya Abang Lan dan Kak Es anak haram!” dan penampar ibu hinggap tepat pada pipi gebu kemerah-merahan Aishah, meninggalkan bekas tapak tangannya.

“Kita mesti lakukan sesuatu,” Esmeralda memandang ke arah Eizlan yang sedang memandu Naza Ria keluarga mereka untuk menghantar dia balik ke Johor untuk bekerja.

“Ibu suruh tunggu papa,” suara Eizlan tidak meyakinkan langsung.

“Apa yang papa boleh buat? Apa yang papa akan buat? Tindakan papa selalu lambat,” keluh Esmeralda dan dia terkejut sendiri dengan kata-katanya.

Mata Eizlan memandangnya penuh-penuh. Sudah selama itukah Esmeralda menyimpan rasa tidak puas hatinya kepada papa mereka. Esmeralda hanya pernah menyebut sekali dua dalam sesi kaunseling mereka selepas mama membunuh diri bahawa jika papa lebih bijak menangani situasi keluarga mereka hampir tiga puluh tahun dahulu, jika papa bertindak lebih cepat, mama mungkin tidak akan bunuh diri, ibu mungkin tidak akan cacat seperti hari ini.

“Es…” Eizlan cuba memujuk. 

Dia tahu hati Esmeralda terluka. Dia faham bahawa Esmeralda sekarang dalam emosi yang tidak stabil. Dia sendiri tidak tahu apa yang dia patut rasa.

Ketika dia berusia sepuluh tahun, Eizlan cuba memahami dinamik keluarga mereka. Zikrillah itu papanya, Emilia itu mamanya, Dhiya’ itu ibunya. Dia anak mama dan papa. Ibu menumpangkan rahim ibu untuk mengandung dan melahirkannya. Kemudian ibu menyusukannya selama dua tahun. Ibu juga menyusukan Esmeralda selama dua tahun. Oleh itu, Dhiya’ ialah ibu tumpang merangkap ibu susuan mereka. Eizlan tidak dapat memahami sepenuhnya apatah lagi Esmeralda yang hanya lapan tahun. Eliza dan Eyad tidak sempat untuk mengalami kekeliruan seperti dia dan Esmeralda kerana mereka terbunuh oleh mama.

Trauma dipukul oleh mama sehingga kakinya tempang sebelah, kengerian melihat mama menoreh muka Esmeralda dan kemudian Eliza; dan kemudian melihat mama sambung menoreh perut Eliza sehingga isi perut Eliza terburai dan melihat darah bersembur dari kepala Eyad yang lembut apabila mama menghantuk kepalanya ke dinding rumah yang putih membuatkan Eizlan hampir hilang kewarasan. Hubungan apakah yang membuatkan mama jadi gila begitu? Sehingga mahu membunuh mereka empat beradik?

Mama asyik menjerit bahawa mereka anak Dhiya’! Bukan anaknya tetapi anak ibu.

Kata papa, mama sakit.

Dan ibu mereka kehilangan kaki, tangan dan suaranya.

“Papa dah buat setakat yang papa mampu, Es,” luah Eizlan. Luahannya seperti seorang hakim menjatuhkan hukuman. Tidak boleh dipertikaikan lagi.

Ya, papa bukanlah lelaki paling tegas atau asertif yang pernah mereka jumpa. Namun tidak dapat hendak disalahkan papa seorang. Papa diasuh untuk sentiasa menyenangkan orang lain. Bermula dari mama kepada papa, Nenek Kamalia dan kemudian kekasih yang menjadi isteri pertama papa, mama mereka, Emilia. 

Jika ditanya pendapatnya, Eizlan rasakan papa hanya mula mengambil teraju kepimpinan diri dan rumah-tangganya selepas papa mengenali ibunya. Apabila papa bersahabat dengan ibu, papa mula mempunyai keyakinan diri. Mula berani untuk mempertahankan apa yang papa percaya adalah betul. Kemudian papa jatuh cinta pada mama. 

Cinta pada mama buat papa jadi buta. Papa sanggup kahwin kali kedua dengan ibu kerana mama yang suruh, kerana mama mahukan anak. Namun apabila mama mula menyakiti ibu, papa tidak dapat berdiam diri. Sekali lagi, hubungan papa dengan ibu menjadikan papa berani mengambil keputusan yang lebih tekad.

Selepas ketiadaan mama, keluarga mereka jadi lebih aman. Papa kembali menjadi ketua keluarga yang sebenar. Ibu sentiasa memastikan itu. Setiap kata papa ialah hukum. Papa tidak pernah keras dengan anak-anak. Ada tidak ada pun, papa bertegas jika ada yang tidak kena pada matanya. Papa telah belajar dari kesalahannya. Papa hari ini bukan lagi papa yang mentah tiga puluh tahun dahulu. Papa sudah dimatangkan oleh ujian dan dugaan yang besar-besar dalam hidupnya.

Jika selama ini Eizlan dan Esmeralda berasa cukup dengan jawapan ibu bahawa mereka berdua anak-anak ibu tidak kiralah bagaimanapun hubungan mereka dicatur-jalinkan. Namun anak haram? Besar bezanya hubungan yang tidak jelas dengan hubungan yang tidak halal.