Monday, May 4, 2020

Bukan Teratai_Bab 3


BAB 3

            Hari Jumaat menjadi lebih istimewa kepada keluarga Dhiya’ dan Zikrillah. Jika sebelum ini Jumaat mereka raikan sebagai hari raya kecil sebagai seorang Muslim kerana Jumaat itu penghulu segala hari; hari Nabi Adam a.s. diciptakan oleh Allah; hari Nabi Adam diturunkan ke Bumi; hari yang diistimewakan dengan solat Jumaat; hari yang jika hendak berpuasa sunat mesti digandingkan dengan hari Khamis atau Sabtu atau kedua-duanya sekali layaknya orang besar-besar tidak mungkin dibiarkan berjalan sendirian; dan sekarang hari Jumaat juga hari mereka dapat berkumpul sekeluarga kerana Esmeralda balik dari Johor untuk cuti hujung minggu.

            Setakat dua bulan ini, Eizlan yang pergi menjemput Esmeralda dari kilang IQ Chem di Jalan Keluli 10 dan nanti dia juga yang menghantar Esmeralda balik ke rumah sewanya berdekatan Kebayan Sungai Buloh di Jalan Sena, Pasir Gudang. Biasanya mereka sampai sekitar waktu makan malam yang dilewatkan ke pukul 9.00 malam pada hari Jumaat agar dua orang itu tidak ketinggalan.

            Malam ini Zikrillah tidak ada kerana menghadiri persidangan antarabangsa di Pusat Persidangan Kuala Lumpur, KLCC. Dia mungkin pulang lewat atau tidur di bilik hotel yang disediakan kepada para peserta.

*     *     *

“Mereka lebih mahukan kau berbanding dengan aku,” Zikrillah mengomel sambil bersiap-siap hendak keluar pagi tadi.

“Bunyinya macam merajuk saja,” Dhiya’ tersenyum mengusik.

“Tak ada kau, tak ada anak-anak. Anak-anak perempuan kita semuanya anak papa dan yang lelaki semuanya geng papa,” Dhiya’ melurut lengan Zikrillah. Sekalipun dengan tangan sintetik, kemesraannya masih sama.

“Aku tahu,” Zikrillah tersenyum, menggenggam tangan Dhiya’.

“Cuma aku nak dengar kau mengaku yang mereka semua tu anak aku, bukan hanya anak-anak ibu,” Zikrillah menekan perkataan ‘semua’ dan sedikit mengajuk gaya Dhiya’ di hujung cakapnya. Zikrillah ketawa kecil apabila Dhiya’ mengerutkan hidung dan mulutnya serentak seperti cencorot.

“Ya… ya… semuanya anak kau,” Dhiya’ geram dengan sikap mengada-ngada sahabatnya, suaminya. Masih lagi Dhiya’ merujuk Zikrillah sebagai sahabat dahulu sebelum suami.

“Selamat, selamat,” ucap Dhiya’ di hadapan pintu selepas mereka bertukar salam, peluk dan cium.

*     *     *

Mendengar detaran kunci di pintu pagar dan ucapan salam tindih-menindih antara suara Esmeralda dan Eizlan, ketiga-tiga beradik yang dari tadi menunggu dengan tenang tiba-tiba ribut berebut menerkam ke muka pintu sambil sahut-menyahut menjawab salam seolah-olah ingin bersaing suara siapa yang paling nyaring. Umar, si bongsu sebelas tahun entahkan kerana kecil berbanding dengan abang dan kakaknya atau sengaja dimenangkan oleh mereka berdua yang dahulu mencapai tombol pintu dan memulasnya agar pintu terbuka.

Belum sempat Esmeralda menyua kaki ke dalam rumah, Umar sudah mula hendak ‘memuat turun’ segala pengalaman sekolahnya selama seminggu dan dia ada seribu satu soalan untuk Esmeralda.

“Umar… bagi kakak masuk dulu,” Aishah, si manis lima belas tahun yang penuh sifat ‘emak-emak’ menarik bahu Umar agar memberikan ruang kepada Esmeralda dan Eizlan untuk masuk.

“Kakak sihat?” Anas, teruna tujuh belas tahun yang selalu tenang mencapai beg sandang dari tangan Esmeralda dan menyalami kakaknya penuh hormat. Tangan halus kakaknya dicium sebelum mereka berlaga pipi kanan, kiri, kanan.

“Ya Allah, rindunya!” Umar juga yang menang dipeluk erat pertama sekali oleh Esmeralda.

“Ibu mana?” begitulah rutinnya saban minggu.

Seolah-olah siaran ulangan. Watak-watak yang sama, melafazkan dialog-dialog yang serupa dalam urutan yang tidak banyak berbeza. Bahkan pakaian mereka pun adakalanya berulang baju yang sama.

“Dah solat, nak?” soalan Dhiya’ juga seperti saban minggu.

Sesudah semua rutin soal-jawab itu selesai, mereka ke agenda seterusnya, makan malam.

“Wah! Angin bertiup ke arah Itali,” Esmeralda tersenyum melihat spageti Bologna, sup cendawan, roti bawang putih dan salad potong dengan sos vinaigret.

“Aishah yang buat kuah,” Dhiya’ bangga memberitahu mereka dan Esmeralda memandang Aishah sambil mengangkat keningnya dua tiga kali.

Aishah tersenyum manis. Malu bercampur bangga diberikan kepercayaan oleh ibu dan dipuji-puji pula oleh semua.

“Umar yang buat salad, tau,” sahutnya.

“Hai… kalau diceritakan nanti hilang ikhlasnya,” sambut Eizlan.

“Umar beritahu bukan untuk dipuji, tapi supaya sekiranya salad tu rasa kekurangan, semua orang tahu Umar yang buat, bukan Aishah,” jelas Umar mengambil tempat duduknya di meja.

“Maaf, abang salah faham,” Eizlan tersenyum menepuk bahu adiknya dua tiga kali.

“Roti dan sup, Anas yang buat,” tambah Umar. 

Panggilan abang dan kakak hanya lekat pada Eizlan dan Esmeralda. Entah berapa kali mereka mencuba Abang Anas dan Kak Aishah, akhirnya tinggal Anas dan Aishah juga.

“Pasti sedap, in shaa Allah,” Anas mengenyit mata.

“Senanglah ibu, ada banyak sous chef,” kata Esmeralda sambil menyenduk spageti ke dalam satu demi satu pinggan makan warna putih bersih kemudian disuakan kepada Aishah yang menceduk kuah merah-jingga ke atasnya.

Aishah menyerahkan pinggan kepada Eizlan untuk meletakkan salad di tepi spageti dan kemudian diserahkan kepada Anas untuk meletakkan dua keping roti dan meletakkan satu persatu pinggan yang telah siap atas pelapik pinggan (placemat) yang disediakan di tempat duduk setiap orang.

Sementara semua itu berlaku, Umar menyenduk sup cendawan berkrim ke dalam ramekin seramik putih comel dan meletak setiap satu di sebelah kanan setiap pinggan dengan penuh hati-hati.

Dhiya’ menuang air masak yang disejukkan ke dalam gelas kaca jernih berkaki dan memasukkan beberapa kiub air batu yang membekukan hirisan anggur, lemon dan sedikit pudina. Tidak sekadar menjadi hiasan yang cantik, apabila air batu mencair, rasa buah-buahan dan pudina akan memberikan rasa pada air masak. Rasa yang menyegarkan, membangkitkan tunas rasa dan paling penting, tanpa gula.

Kebiasaan orang Itali minum wain merah dan air kosong sama ada yang biasa atau berbuih kerana bersoda. Untuk keluarga mereka, cukuplah dengan yang halal. Setiap gelas diletakkan di hadapan pinggan masing-masing untuk memuatkan meja mereka.

Selepas Anas membaca doa makan, mereka makan dengan berselera sambil berbual-bual. Sesekali ketawa mereka berderai dek keletah Umar atau komen Aishah. Kemudian tenang mendengar Anas memberikan pendapatnya tentang sesuatu topik.

“Sedap Shah masak. Ada sesuatu yang berbeza daripada kuah ibu. Apa itu?” tanya Esmeralda.

Dhiya’ dan Aishah saling berpandangan dan Dhiya’ tersenyum kepada Aishah, mengisyaratkan agar Aishah menceritakan rahsianya.

“Malam ni Shah nak kita makan masakan Itali dan tidak sekadar makan, Shah nak kita sedar dan tahu apa yang kita makan,” mula Aishah.

“Ilmu…bagus!” sahut Eizlan, mengangguk setuju.

“Untuk kuah ni, Shah letak susu. Begitu sebenarnya sos Bologna,” jawab Aishah.

“Oh, patut warnanya lebih jingga berbanding dengan merah,” Anas menguis-nguis sos pasta dalam pinggannya.

“Yang kita biasa kata sos Bolognese tu sebenarnya sos daging ala Amerika. Lebih tomato dan daging cincang yang direneh lama dalam sos tu. Sos Bologna sebenar lebih berkrim. Tomatonya sedikit sahaja dan mereka gunakan susu. Sebenarnya, bebola daging yang gemuk-gemuk macam bola tenis tu dimakan di Itali sebagai satu hidangan, bukan sekali dengan spaghetti,” jelas Aishah.

“Jadi kita salah makan?” Umar memandang muka Aishah.

“Kita terbiasa dengan pembaratan atau lebih tepat peng-Amerika-an makanan negara-negara lain. Bukan tak ada bebola daging dengan spageti tapi saiznya comel-comel saja. Yang lebih biasa ialah daging cincang,” sambut Aishah.

“Macam roti bawang putih ni, betul tak Nas?” Aishah menunjuk ke arah Anas seolah-olah menyerahkan ‘pentas’ kepada abangnya.

“Cara sebenar adalah dengan membakar roti berkulit keras seperti baguette. Kemudian gosok permukaan roti yang dah dibakar dengan bawang putih yang dihiris, titik dengan minyak zaitun dara dan tabur sedikit garam,” jawab Anas.

“Ada sesetengah orang suka menambah oregano untuk serlahkan lagi rasa Italinya tetapi itu tidak perlu,” sambungnya.

“Jika caranya semudah itu, kenapa orang susah-payah guna mentega?” Eizlan mencicah sekeping roti ke dalam sup lalu meyuap ke mulutnya.

“Ha…” sambut Anas tersenyum.

“Sekalipun minyak zaitun dijual merata-rata di Amerika hari ni. Bahkan di Malaysia pun dah tak asing lagi, dahulu bukan begitu. Apabila pendatang dari Itali ke Amerika, minyak zaitun susah didapati. Jadi mereka gunakan apa yang mudah dan depan mata: mentega,” begitu Anas menyimpulkan.

Sedang mereka rancak makan, telefon berdering. Aishah hampir melompat untuk bangun dari kerusinya untuk menjawab telefon.

“Biar ibu jawab,” Dhiya’ menahannya.

Aishah kelihatan kecewa. Esmeralda berpandangan dengan Eizlan. Sebagai saudara yang paling tua, mereka sudah kenal larangan Dhiya’ dalam lembutnya. Aishah juga tahu bahawa itu satu larangan dan dia akur. Aishah duduk memutar-mutar spageti dengan garfunya sehingga spageti begulung-gulung naik sampai ke pangkal garfu dan kerana sudah habis panjangnya, terurai semula dan kemudian bergulung naik lagi.

Esmeralda mencari-cari jawapan pada muka Anas namun adiknya itu terus makan tanpa memanggung kepala. Apabila Esmeralda memandang Eizlan kembali, Eizlan memejam matanya dan menggeleng-gelengkan kepalanya lembut agar Esemeralda jangan mendesak dahulu.

“Ya, mak cik faham Akmal cuma hendak berbual-bual dengan Aishah tapi masanya sudah terlalu lewat dan kami sedang makan malam keluarga,” atur Dhiya’ tenang.

Aishah mengetuk garfunya ke pinggan sekali. Melepas geramnya melalui detingan garfu meningkah pinggan.

“Shah…” Anas menegur. Muka Aishah lebih masam daripada cuka dalam sos salad yang sedang dijamah oleh Anas.

“Mak cik harap Akmal faham, ya. Mak cik harap Akmal hormati masa Aishah dan keluarga mak cik. Assalamualaikum,” Dhiya’ meletak telefon dengan sopan sebelum memusing kerusi rodanya untuk kembali ke meja makan.

“Akmal kirim salam pada Aishah,” ucap Dhiya’.

“Kenapa ibu tak bagi Shah cakap dengan Akmal?” Aishah memandang wajah Dhiya’ tepat-tepat.

Masing-masing berhenti makan dan meletakkan sudu, garfu dan gelas masing-masing. Tidak kiralah berapa kalipun perbualan begini berlaku dalam rumah mereka sama ada kerana papa atau ibu menegur sesiapa atau mereka sesama mereka ada salah faham yang memerlukan penjelasan, rasa kekoknya tidak pernah berkurang. Apatah lagi susasa begini amat jarang berlaku antara mereka.

“Ibu dah bagi Aishah cakap sejam dengan Akmal di telefon petang tadi, sayang,” pujuk Dhiya’.

Esemeralda memandang wajah Eizlan tepat-tepat. Sejam?(!)

Eizlan hanya menyungging senyum mengiyakan.

“Shah tahu! Tapi Shah ada benda lagi nak cakap dengan Akmal,” protes Aishah. Mukanya sudah mula menunjukkan bibit-bibit rajuk yang semakin meraja.

“Aishah…” Dhiya’ memaut lembut tangan Aishah atas meja.

“Kakak kan baru balik, kita sedang makan.”

“Ah! Kakak ada sampai hari Ahad. Biarlah Shah cakap dengan Akmal malam ni!” Aishah menarik tangannya kasar.

Dhiya’ senyum tawar sambil melepaskan keluhan kecil. Aishah tidak mendengar. Tidak ada gunanya memberikan penjelasan.

“Makan, nak,” Dhiya’ menjemput mereka yang lain makan dan dia sendiri menyambung menyuap spageti yang diputar ke garfu ke mulutnya.

“Ibu!” Aishah menepuk meja dan bangun meninggalkan mereka.

Eizlan, Esmeralda dan Anas sama-sama hendak bersuara namun tertahan apabila Dhiya’ lebih cepat menyebut, “Makan, makan.”

Mereka terus makan sambil memaksa diri untuk tidak peduli pada Aishah yang merajuk.

“Zaman remaja zaman yang berapi-api. Haji Roma Irama,” Umar memetik dialog watak Ikal dalam filem Laskar Pelangi.

Hampir tersembur makanan mereka menahan sedak dan ketawa di meja makan. Sekalipun mereka seperti tidak peduli pada Aishah, mereka tidak mahu hatinya terluka kerana menyangka mereka tidak kisah akan perasaannya.




Saturday, May 2, 2020

Bukan Teratai_Bab 2


BAB 2

     Esmeralda menapak anak-anak tangga ke tingkat tiga rumah sewanya dengan langkah yang amat berat. Terasa seolah-olah umurnya bertambah seratus tahun hanya untuk sampai ke depan pintu.
Sebelum memasukkan kunci ke lubangnya, Esmeralda menjenguk ke bawah dan melambai sekali kepada Eizlan yang sedang bersandar pada sisi kenderaan keluarga mereka. Tidak seperti kebiasaannya apabila mereka saling melayangkan ciuman dan dia melambai dengan bersemangat dan ceria, kali ini lebih kepada hanya isyarat bahawa dia sudah sampai di hadapan rumahnya dan Eizlan tidak perlu risau.

     Dengan ucapan salam yang perlahan, Esmeralda masuk ke dalam rumah yang gelap. Dia cepat-cepat memetik suis lampu agar rumah itu terang. Esmeralda tahu yang Eizlan tidak akan pergi sebelum dia yakin bahawa Esmeralda sudah masuk ke dalam rumah. Sebaik sahaja lampu menyala, Esmeralda mendengar enjin Naza Ria bergerak pergi.

     Esmeralda bersyukur tidak ada sesiapa di rumah. Roslina mungkin bekerja syif malam atau keluar dengan teman lelakinya. Esmeralda tidak dapat mengingat dengan baik. Fikirannya terbeban dengan perkara yang lebih besar kini. Norli: teman serumah, teman sebilik dan rakan kerjanya mungkin berada di Johor Jaya, di rumah Wahyu. Ah…Wahyu!

     Esmeralda mengunci pintu rumah kemas-kemas, mematikan suis lampu ruang tamu dan terus ke bilik tidur meletakkan beg sandangnya. Dia memetik lampu bilik tidur dan terus ke bilik air. Selepas mencuci muka dan menggosok gigi, Esmeralda berwuduk. Dia kembali ke bilik, bersiap dengan telekung dan berdiri untuk solat dua rakaat. Ada banyak yang hendak diadunya kepada Allah. Air matanya mengalir tanpa dipinta.

*             *          *

     Eizlan memandu pulang dalam diam. Jika selalu Esmeralda berbual dengannya melalui telefon sehingga dia memaksa Esmeralda tidur, malam ini dia tidak berharap apa-apa daripada Esmeralda. Dia sendiri tidak mahu diganggu. Dia perlukan ruang dan masa untuk mengatur fikiran, emosi dan hatinya. Dia juga mahu mengatur strategi untuk menyelesaikan kemelut nasab dan keturunannya.

     Sesekali Eizlan mendecit, sesekali kepalanya tergeleng-geleng. Tiba-tiba dia mengetuk stereng kereta penuh kecewa. Nafasnya ditarik dalam-dalam dan dilepaskan dengan keluhan kasar.

     “Ya Allah…” keluhnya. Ya Allah… Ya Allah… Ya Allah…

     Sekalipun jarak semakin menjauh di antara Eizlan dan Esmeralda semakin Eizlan meninggalkan Pasir Gudang menuju Bukit Jalil, fikiran mereka berdua tertumpu pada perkara yang sama: peristiwa dua malam yang lalu.

Thursday, April 16, 2020

Bukan Teratai_Bab 1


BUKAN TERATAI

Bukan Teratai ialah sambungan daripada Cemburu Seorang Perempuan. 

BAB 1

Anak haram!

Esmeralda memejam mata dan menelengkan kepala ke tepi cermin kereta, dia ingin melupakan kata-kata keji yang keluar dari mulut Aishah. Namun kata-kata Aishah masih terngiang-ngiang dalam telinganya,

“Abang Lan dan Kak Es bukan anak ibu! Kaedah ibu tumpang haram dalam Islam. Maknanya Abang Lan dan Kak Es anak haram!” dan penampar ibu hinggap tepat pada pipi gebu kemerah-merahan Aishah, meninggalkan bekas tapak tangannya.

“Kita mesti lakukan sesuatu,” Esmeralda memandang ke arah Eizlan yang sedang memandu Naza Ria keluarga mereka untuk menghantar dia balik ke Johor untuk bekerja.

“Ibu suruh tunggu papa,” suara Eizlan tidak meyakinkan langsung.

“Apa yang papa boleh buat? Apa yang papa akan buat? Tindakan papa selalu lambat,” keluh Esmeralda dan dia terkejut sendiri dengan kata-katanya.

Mata Eizlan memandangnya penuh-penuh. Sudah selama itukah Esmeralda menyimpan rasa tidak puas hatinya kepada papa mereka. Esmeralda hanya pernah menyebut sekali dua dalam sesi kaunseling mereka selepas mama membunuh diri bahawa jika papa lebih bijak menangani situasi keluarga mereka hampir tiga puluh tahun dahulu, jika papa bertindak lebih cepat, mama mungkin tidak akan bunuh diri, ibu mungkin tidak akan cacat seperti hari ini.

“Es…” Eizlan cuba memujuk. 

Dia tahu hati Esmeralda terluka. Dia faham bahawa Esmeralda sekarang dalam emosi yang tidak stabil. Dia sendiri tidak tahu apa yang dia patut rasa.

Ketika dia berusia sepuluh tahun, Eizlan cuba memahami dinamik keluarga mereka. Zikrillah itu papanya, Emilia itu mamanya, Dhiya’ itu ibunya. Dia anak mama dan papa. Ibu menumpangkan rahim ibu untuk mengandung dan melahirkannya. Kemudian ibu menyusukannya selama dua tahun. Ibu juga menyusukan Esmeralda selama dua tahun. Oleh itu, Dhiya’ ialah ibu tumpang merangkap ibu susuan mereka. Eizlan tidak dapat memahami sepenuhnya apatah lagi Esmeralda yang hanya lapan tahun. Eliza dan Eyad tidak sempat untuk mengalami kekeliruan seperti dia dan Esmeralda kerana mereka terbunuh oleh mama.

Trauma dipukul oleh mama sehingga kakinya tempang sebelah, kengerian melihat mama menoreh muka Esmeralda dan kemudian Eliza; dan kemudian melihat mama sambung menoreh perut Eliza sehingga isi perut Eliza terburai dan melihat darah bersembur dari kepala Eyad yang lembut apabila mama menghantuk kepalanya ke dinding rumah yang putih membuatkan Eizlan hampir hilang kewarasan. Hubungan apakah yang membuatkan mama jadi gila begitu? Sehingga mahu membunuh mereka empat beradik?

Mama asyik menjerit bahawa mereka anak Dhiya’! Bukan anaknya tetapi anak ibu.

Kata papa, mama sakit.

Dan ibu mereka kehilangan kaki, tangan dan suaranya.

“Papa dah buat setakat yang papa mampu, Es,” luah Eizlan. Luahannya seperti seorang hakim menjatuhkan hukuman. Tidak boleh dipertikaikan lagi.

Ya, papa bukanlah lelaki paling tegas atau asertif yang pernah mereka jumpa. Namun tidak dapat hendak disalahkan papa seorang. Papa diasuh untuk sentiasa menyenangkan orang lain. Bermula dari mama kepada papa, Nenek Kamalia dan kemudian kekasih yang menjadi isteri pertama papa, mama mereka, Emilia. 

Jika ditanya pendapatnya, Eizlan rasakan papa hanya mula mengambil teraju kepimpinan diri dan rumah-tangganya selepas papa mengenali ibunya. Apabila papa bersahabat dengan ibu, papa mula mempunyai keyakinan diri. Mula berani untuk mempertahankan apa yang papa percaya adalah betul. Kemudian papa jatuh cinta pada mama. 

Cinta pada mama buat papa jadi buta. Papa sanggup kahwin kali kedua dengan ibu kerana mama yang suruh, kerana mama mahukan anak. Namun apabila mama mula menyakiti ibu, papa tidak dapat berdiam diri. Sekali lagi, hubungan papa dengan ibu menjadikan papa berani mengambil keputusan yang lebih tekad.

Selepas ketiadaan mama, keluarga mereka jadi lebih aman. Papa kembali menjadi ketua keluarga yang sebenar. Ibu sentiasa memastikan itu. Setiap kata papa ialah hukum. Papa tidak pernah keras dengan anak-anak. Ada tidak ada pun, papa bertegas jika ada yang tidak kena pada matanya. Papa telah belajar dari kesalahannya. Papa hari ini bukan lagi papa yang mentah tiga puluh tahun dahulu. Papa sudah dimatangkan oleh ujian dan dugaan yang besar-besar dalam hidupnya.

Jika selama ini Eizlan dan Esmeralda berasa cukup dengan jawapan ibu bahawa mereka berdua anak-anak ibu tidak kiralah bagaimanapun hubungan mereka dicatur-jalinkan. Namun anak haram? Besar bezanya hubungan yang tidak jelas dengan hubungan yang tidak halal.