BAB 3
Hari
Jumaat menjadi lebih istimewa kepada keluarga Dhiya’ dan Zikrillah. Jika
sebelum ini Jumaat mereka raikan sebagai hari raya kecil sebagai seorang Muslim
kerana Jumaat itu penghulu segala hari; hari Nabi Adam a.s. diciptakan oleh
Allah; hari Nabi Adam diturunkan ke Bumi; hari yang diistimewakan dengan solat
Jumaat; hari yang jika hendak berpuasa sunat mesti digandingkan dengan hari
Khamis atau Sabtu atau kedua-duanya sekali layaknya orang besar-besar tidak
mungkin dibiarkan berjalan sendirian; dan sekarang hari Jumaat juga hari mereka
dapat berkumpul sekeluarga kerana Esmeralda balik dari Johor untuk cuti hujung
minggu.
Setakat
dua bulan ini, Eizlan yang pergi menjemput Esmeralda dari kilang IQ Chem di
Jalan Keluli 10 dan nanti dia juga yang menghantar Esmeralda balik ke rumah
sewanya berdekatan Kebayan Sungai Buloh di Jalan Sena, Pasir Gudang. Biasanya
mereka sampai sekitar waktu makan malam yang dilewatkan ke pukul 9.00 malam pada
hari Jumaat agar dua orang itu tidak ketinggalan.
Malam
ini Zikrillah tidak ada kerana menghadiri persidangan antarabangsa di Pusat Persidangan Kuala Lumpur, KLCC. Dia
mungkin pulang lewat atau tidur di bilik hotel yang disediakan kepada para
peserta.
“Mereka lebih
mahukan kau berbanding dengan aku,” Zikrillah mengomel sambil bersiap-siap
hendak keluar pagi tadi.
“Bunyinya macam
merajuk saja,” Dhiya’ tersenyum mengusik.
“Tak ada kau,
tak ada anak-anak. Anak-anak perempuan kita semuanya anak papa dan yang
lelaki semuanya geng papa,” Dhiya’ melurut lengan Zikrillah. Sekalipun
dengan tangan sintetik, kemesraannya masih sama.
“Aku tahu,”
Zikrillah tersenyum, menggenggam tangan Dhiya’.
“Cuma aku nak
dengar kau mengaku yang mereka semua tu anak aku, bukan hanya anak-anak ibu,”
Zikrillah menekan perkataan ‘semua’ dan sedikit mengajuk gaya Dhiya’ di hujung
cakapnya. Zikrillah ketawa kecil apabila Dhiya’ mengerutkan hidung dan mulutnya
serentak seperti cencorot.
“Ya… ya… semuanya
anak kau,” Dhiya’ geram dengan sikap mengada-ngada sahabatnya, suaminya.
Masih lagi Dhiya’ merujuk Zikrillah sebagai sahabat dahulu sebelum suami.
“Selamat,
selamat,” ucap Dhiya’ di hadapan pintu selepas mereka bertukar salam, peluk dan
cium.
* * *
Mendengar
detaran kunci di pintu pagar dan ucapan salam tindih-menindih antara suara
Esmeralda dan Eizlan, ketiga-tiga beradik yang dari tadi menunggu dengan tenang
tiba-tiba ribut berebut menerkam ke muka pintu sambil sahut-menyahut menjawab
salam seolah-olah ingin bersaing suara siapa yang paling nyaring. Umar, si
bongsu sebelas tahun entahkan kerana kecil berbanding dengan abang dan kakaknya
atau sengaja dimenangkan oleh mereka berdua yang dahulu mencapai tombol pintu
dan memulasnya agar pintu terbuka.
Belum sempat
Esmeralda menyua kaki ke dalam rumah, Umar sudah mula hendak ‘memuat turun’
segala pengalaman sekolahnya selama seminggu dan dia ada seribu satu soalan
untuk Esmeralda.
“Umar… bagi
kakak masuk dulu,” Aishah, si manis lima belas tahun yang penuh sifat ‘emak-emak’
menarik bahu Umar agar memberikan ruang kepada Esmeralda dan Eizlan untuk
masuk.
“Kakak sihat?”
Anas, teruna tujuh belas tahun yang selalu tenang mencapai beg sandang dari
tangan Esmeralda dan menyalami kakaknya penuh hormat. Tangan halus kakaknya dicium sebelum mereka berlaga pipi kanan, kiri, kanan.
“Ya Allah,
rindunya!” Umar juga yang menang dipeluk erat pertama sekali oleh Esmeralda.
“Ibu mana?”
begitulah rutinnya saban minggu.
Seolah-olah
siaran ulangan. Watak-watak yang sama, melafazkan dialog-dialog yang serupa
dalam urutan yang tidak banyak berbeza. Bahkan pakaian mereka pun adakalanya
berulang baju yang sama.
“Dah solat,
nak?” soalan Dhiya’ juga seperti saban minggu.
Sesudah semua
rutin soal-jawab itu selesai, mereka ke agenda seterusnya, makan malam.
“Wah! Angin
bertiup ke arah Itali,” Esmeralda tersenyum melihat spageti Bologna, sup
cendawan, roti bawang putih dan salad potong dengan sos vinaigret.
“Aishah yang
buat kuah,” Dhiya’ bangga memberitahu mereka dan Esmeralda memandang Aishah
sambil mengangkat keningnya dua tiga kali.
Aishah tersenyum
manis. Malu bercampur bangga diberikan kepercayaan oleh ibu dan dipuji-puji
pula oleh semua.
“Umar yang buat
salad, tau,” sahutnya.
“Hai… kalau
diceritakan nanti hilang ikhlasnya,” sambut Eizlan.
“Umar beritahu
bukan untuk dipuji, tapi supaya sekiranya salad tu rasa kekurangan, semua orang
tahu Umar yang buat, bukan Aishah,” jelas Umar mengambil tempat duduknya di
meja.
“Maaf, abang
salah faham,” Eizlan tersenyum menepuk bahu adiknya dua tiga kali.
“Roti dan sup,
Anas yang buat,” tambah Umar.
Panggilan abang dan kakak hanya lekat pada Eizlan
dan Esmeralda. Entah berapa kali mereka mencuba Abang Anas dan Kak Aishah,
akhirnya tinggal Anas dan Aishah juga.
“Pasti sedap, in
shaa Allah,” Anas mengenyit mata.
“Senanglah ibu,
ada banyak sous chef,” kata Esmeralda sambil menyenduk spageti ke dalam
satu demi satu pinggan makan warna putih bersih kemudian disuakan kepada Aishah
yang menceduk kuah merah-jingga ke atasnya.
Aishah
menyerahkan pinggan kepada Eizlan untuk meletakkan salad di tepi spageti dan
kemudian diserahkan kepada Anas untuk meletakkan dua keping roti dan meletakkan
satu persatu pinggan yang telah siap atas pelapik pinggan (placemat)
yang disediakan di tempat duduk setiap orang.
Sementara semua
itu berlaku, Umar menyenduk sup cendawan berkrim ke dalam ramekin seramik putih
comel dan meletak setiap satu di sebelah kanan setiap pinggan dengan penuh
hati-hati.
Dhiya’ menuang
air masak yang disejukkan ke dalam gelas kaca jernih berkaki dan memasukkan
beberapa kiub air batu yang membekukan hirisan anggur, lemon dan sedikit
pudina. Tidak sekadar menjadi hiasan yang cantik, apabila air batu mencair,
rasa buah-buahan dan pudina akan memberikan rasa pada air masak. Rasa yang menyegarkan, membangkitkan tunas rasa dan paling penting, tanpa gula.
Kebiasaan orang
Itali minum wain merah dan air kosong sama ada yang biasa atau berbuih kerana
bersoda. Untuk keluarga mereka, cukuplah dengan yang halal. Setiap gelas
diletakkan di hadapan pinggan masing-masing untuk memuatkan meja mereka.
Selepas Anas
membaca doa makan, mereka makan dengan berselera sambil berbual-bual. Sesekali
ketawa mereka berderai dek keletah Umar atau komen Aishah. Kemudian tenang
mendengar Anas memberikan pendapatnya tentang sesuatu topik.
“Sedap Shah
masak. Ada sesuatu yang berbeza daripada kuah ibu. Apa itu?” tanya Esmeralda.
Dhiya’ dan
Aishah saling berpandangan dan Dhiya’ tersenyum kepada Aishah, mengisyaratkan
agar Aishah menceritakan rahsianya.
“Malam ni Shah
nak kita makan masakan Itali dan tidak sekadar makan, Shah nak kita sedar dan
tahu apa yang kita makan,” mula Aishah.
“Ilmu…bagus!”
sahut Eizlan, mengangguk setuju.
“Untuk kuah ni, Shah
letak susu. Begitu sebenarnya sos Bologna,” jawab Aishah.
“Oh, patut
warnanya lebih jingga berbanding dengan merah,” Anas menguis-nguis sos pasta
dalam pinggannya.
“Yang kita biasa
kata sos Bolognese tu sebenarnya sos daging ala Amerika. Lebih tomato dan
daging cincang yang direneh lama dalam sos tu. Sos Bologna sebenar lebih
berkrim. Tomatonya sedikit sahaja dan mereka gunakan susu. Sebenarnya, bebola
daging yang gemuk-gemuk macam bola tenis tu dimakan di Itali sebagai satu
hidangan, bukan sekali dengan spaghetti,” jelas Aishah.
“Jadi kita salah
makan?” Umar memandang muka Aishah.
“Kita terbiasa
dengan pembaratan atau lebih tepat peng-Amerika-an makanan negara-negara lain.
Bukan tak ada bebola daging dengan spageti tapi saiznya comel-comel saja. Yang
lebih biasa ialah daging cincang,” sambut Aishah.
“Macam roti
bawang putih ni, betul tak Nas?” Aishah menunjuk ke arah Anas seolah-olah
menyerahkan ‘pentas’ kepada abangnya.
“Cara sebenar
adalah dengan membakar roti berkulit keras seperti baguette. Kemudian
gosok permukaan roti yang dah dibakar dengan bawang putih yang dihiris, titik
dengan minyak zaitun dara dan tabur sedikit garam,” jawab Anas.
“Ada sesetengah
orang suka menambah oregano untuk serlahkan lagi rasa Italinya tetapi itu tidak
perlu,” sambungnya.
“Jika caranya
semudah itu, kenapa orang susah-payah guna mentega?” Eizlan mencicah sekeping
roti ke dalam sup lalu meyuap ke mulutnya.
“Ha…” sambut
Anas tersenyum.
“Sekalipun
minyak zaitun dijual merata-rata di Amerika hari ni. Bahkan di Malaysia pun dah
tak asing lagi, dahulu bukan begitu. Apabila pendatang dari Itali ke Amerika,
minyak zaitun susah didapati. Jadi mereka gunakan apa yang mudah dan depan
mata: mentega,” begitu Anas menyimpulkan.
Sedang mereka
rancak makan, telefon berdering. Aishah hampir melompat untuk bangun dari
kerusinya untuk menjawab telefon.
“Biar ibu
jawab,” Dhiya’ menahannya.
Aishah kelihatan
kecewa. Esmeralda berpandangan dengan Eizlan. Sebagai saudara yang paling tua,
mereka sudah kenal larangan Dhiya’ dalam lembutnya. Aishah juga tahu bahawa itu
satu larangan dan dia akur. Aishah duduk memutar-mutar spageti dengan garfunya
sehingga spageti begulung-gulung naik sampai ke pangkal garfu dan kerana sudah
habis panjangnya, terurai semula dan kemudian bergulung naik lagi.
Esmeralda
mencari-cari jawapan pada muka Anas namun adiknya itu terus makan tanpa
memanggung kepala. Apabila Esmeralda memandang Eizlan kembali, Eizlan memejam
matanya dan menggeleng-gelengkan kepalanya lembut agar Esemeralda jangan
mendesak dahulu.
“Ya, mak cik
faham Akmal cuma hendak berbual-bual dengan Aishah tapi masanya sudah terlalu
lewat dan kami sedang makan malam keluarga,” atur Dhiya’ tenang.
Aishah mengetuk
garfunya ke pinggan sekali. Melepas geramnya melalui detingan garfu meningkah
pinggan.
“Shah…” Anas
menegur. Muka Aishah lebih masam daripada cuka dalam sos salad yang sedang
dijamah oleh Anas.
“Mak cik harap
Akmal faham, ya. Mak cik harap Akmal hormati masa Aishah dan keluarga mak cik.
Assalamualaikum,” Dhiya’ meletak telefon dengan sopan sebelum memusing kerusi
rodanya untuk kembali ke meja makan.
“Akmal kirim
salam pada Aishah,” ucap Dhiya’.
“Kenapa ibu tak
bagi Shah cakap dengan Akmal?” Aishah memandang wajah Dhiya’ tepat-tepat.
Masing-masing
berhenti makan dan meletakkan sudu, garfu dan gelas masing-masing. Tidak
kiralah berapa kalipun perbualan begini berlaku dalam rumah mereka sama ada
kerana papa atau ibu menegur sesiapa atau mereka sesama mereka ada salah faham
yang memerlukan penjelasan, rasa kekoknya tidak pernah berkurang. Apatah lagi
susasa begini amat jarang berlaku antara mereka.
“Ibu dah bagi
Aishah cakap sejam dengan Akmal di telefon petang tadi, sayang,” pujuk Dhiya’.
Esemeralda
memandang wajah Eizlan tepat-tepat. Sejam?(!)
Eizlan hanya
menyungging senyum mengiyakan.
“Shah tahu! Tapi
Shah ada benda lagi nak cakap dengan Akmal,” protes Aishah. Mukanya sudah mula
menunjukkan bibit-bibit rajuk yang semakin meraja.
“Aishah…” Dhiya’
memaut lembut tangan Aishah atas meja.
“Kakak kan baru
balik, kita sedang makan.”
“Ah! Kakak ada
sampai hari Ahad. Biarlah Shah cakap dengan Akmal malam ni!” Aishah menarik
tangannya kasar.
Dhiya’ senyum
tawar sambil melepaskan keluhan kecil. Aishah tidak mendengar. Tidak ada
gunanya memberikan penjelasan.
“Makan, nak,”
Dhiya’ menjemput mereka yang lain makan dan dia sendiri menyambung menyuap spageti
yang diputar ke garfu ke mulutnya.
“Ibu!” Aishah
menepuk meja dan bangun meninggalkan mereka.
Eizlan,
Esmeralda dan Anas sama-sama hendak bersuara namun tertahan apabila Dhiya’
lebih cepat menyebut, “Makan, makan.”
Mereka terus
makan sambil memaksa diri untuk tidak peduli pada Aishah yang merajuk.
“Zaman remaja
zaman yang berapi-api. Haji Roma Irama,” Umar memetik dialog watak Ikal
dalam filem Laskar Pelangi.
Hampir tersembur makanan mereka menahan sedak
dan ketawa di meja makan. Sekalipun mereka seperti tidak peduli pada
Aishah, mereka tidak mahu hatinya terluka kerana menyangka mereka tidak kisah
akan perasaannya.
No comments:
Post a Comment